Di Malaysia dan sebahagian besar negara lain pada hari Ahad minggu kedua bulan Mei setiap tahun diadakan sambutan Hari Ibu. Jadi tahun ini 8 Mei adalah Hari Ibu. Pada hari ini anak-anak akan meraikan ibu mereka dengan berbagai cara. Tidak kiralah apa yang anda lakukan untuk ibu anda hari ini walaupun sekadar ucapan ringkas pasti menggembirakan ibu anda.
Walaupun begitu menghargai ibu bukanlah cukup setakat satu hari sahaja. Sebagai umat Islam kita wajib mentaati dan menghormati ibubapa kita pada setiap masa. Ini boleh dilihat pada Firman Allah, bermaksud: "Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya" (Surah al Ankabut, ayat 8).
Ini diperkuatkan lagi dengan hadis Nabi Muhammad s.a.w. di mana dalam sebuah riwayat seorang lelaki datang kepada Rasulullah dan bertanya, "Siapakah orang yang paling patut aku berbuat baik?" Jawab baginda, "Ibumu, kemudian ibumu, kemudian ibumu, kemudian bapamu dan selepas itu orang yang paling hampir denganmu dan seterusnya".
Tidak perlu kita tunggu tibanya Hari Ibu untuk kita hargai mereka. Selagi mereka disisi, selagi kita masih bernyawa, setiap hari kita harus menghargai mereka. Jangan sesekali kita lupakan jasa dan pengorbanan yang telah mereka lakukan demi kita semua. Syurga itu di bawah tapak kaki ibu, jadi berbaktilah dan hargailah mereka selagi kita masih berkesempatan. Jadi, bagi anda yang masih punyai ibu, hargailah mereka dan berbaktilah kepada mereka.
No comments:
Post a Comment